
JOHOR BAHRU: UMNO Johor akan memberi peluang kepada Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal menjalankan tugas membangunkan negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hasni Mohammad, berkata pihaknya akan terus berperanan sebagai pembangkang yang berwibawa.
“Mengenai pelantikan Menteri Besar baharu, UMNO Johor akan memberi peluang kepada lantikan baharu untuk melakukan tugas membangunkan Johor.
“Namun saya selaku Ketua Pembangkang tidak akan berhenti menuntut kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab membela rakyat Johor dan kami sebagai pembangkang akan melaksanakan konsep semak dan imbang, supaya pentadbiran negeri lebih telus serta berwibawa.
“Saya juga harap kepemimpinan baharu ini dapat menterjemahkan pengiktirafan kepada pembangkang kerana sebelum ini ia tidak berjaya diterjemahkan dengan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Pemuda UMNO Johor mengucapkan tahniah kepada Dr Sahruddin atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor ke-17.
Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah, berkata pelantikan Dr Sahruddin juga menunjukkan kebijaksanaan dan keprihatinan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar terhadap kelangsungan sebuah kerajaan.
“UMNO akan terus menjadi ejen semak dan imbang dalam kerajaan hari ini, kami akan terus memperjuangkan suara rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Berita Harian
Leave a Reply