
Pemuda Umno Johor menyifatkan pemilihan Dr Sahruddin Jamal sebagai menteri besar baru negeri itu sebagai bukti kebijaksanaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam memastikan kelangsungan kerajaan negeri.
Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah, berkata Umno akan terus menjadi agen semak dan imbang kepada kerajaan yang berkuasa hari ini.
“Pelantikan Dr Sahruddin juga menunjukkan kebijaksaan dan keperihatinan DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Tuanku Sultan Johor terhadap kelangsungan sebuah kerajaan.
“Umno akan menjadi agen semak dan imbang dalam kerajaan hari ini. Kami akan terus memperjuangkan suara-suara rakyat agar tidak tertindas.
“Kami juga tidak akan teragak-agak akan menegur salah laku yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sahruddin yang juga bekas exco kesihatan, alam sekitar dan pertanian mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang baru di depan Sultan Johor pagi tadi.
Beliau menjadi menteri besar Johor ke-17 menggantikan Osman Sapian yang meletakkan jawatan pada 8 April lalu.
Sultan Ibrahim berkenan menyerahkan surat tauliah dan pengisytiharan pelantikan di Istana Bukit Serene di Johor Bahru pada jam 9.30 pagi tadi.
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada 9 April lalu mengumumkan peletakan jawatan Osman selaku menteri besar Johor.
Sementara itu, Pemuda Umno Johor mahu Sahruddin memberi fokus kepada usaha membela nasib rakyat melebihi soal peribadi.
Katanya, ia penting bagi memastikan kemelut Menteri Besar Johor tidak akan berulang lagi selepas.
“Masalah peribadi, disiplin dan kepentingan keluarga perlulah dibuang jauh-jauh oleh menteri besar yang baru ini agar kemelut menteri besar tidak akan berulang.
“Menteri besar perlulah menjaga kepentingan rakyat dan negeri Johor berbanding desakan atau suruhan dari Putrajaya.
“Jadilah ‘pak sanggup’ kepada rakyat akan lebih dihargai berbanding yang lain-lain,” katanya. – Malaysiakini
Leave a Reply