
1. Pergerakan Pemuda UMNO Johor memandang serius kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa beberapa arahan dan permintaan Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang kononnya beliau terpaksa ingkari.
2. Menjadi persoalan kenapa beliau membangkitkan isu berkenaan ketika sesi wawancara bersama pihak media semalam. Apa motif Syed Saddiq mendedahkan perkara sebegitu ketika sesi wawancara berkenaan.
3. Difahamkan wawancara berkenaan adalah untuk menceritakan pencapaian menteri dan kementerian masing-masing selepas setahun Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu. Apakah kenyataan sebegitu sengaja dikeluarkan Syed Saddiq untuk menutup kelemahan dan kepincangannya dalam menerajui Kementerian Belia dan Sukan dengan mengalihkan isu terhadap TMJ.
4. Umum semua maklum bahawa Ketua Pemuda PPBM itu semenangnya tidak mempunyai hubungan yang baik dengan pewaris takhta Johor itu. Jadi, tujuan Syed Saddiq mendedahkan cerita sedemikian dilihat cuba memberi persepsi yang buruk terhadap TMJ.
5. Bukan saja Syed Saddiq, malah hubungan Putrajaya dengan Istana Johor juga agak tegang baru-baru ini ekoran krisis perlembagaan membabitkan isu Menteri Besar.
6. Oleh itu Pemuda UMNO Johor menuntut penjelasan Syed Saddiq berhubung kenyataannya itu yang jelas berniat jahat bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap TMJ.
Mohd Hairi Mad Shah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor
24 April 2019
Leave a Reply