
26 April 2019 lalu, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein sempena ngeteh santai bersama warga Felda Ulu Belitong di kawasan parlimennya telah berkesempatan mendengar luahan dan keluhan warga Felda tentang situasi terkini kehidupan warga peneroka. Antara kebimbangan yang diutarakan oleh mereka adalah mengenai kejatuhan harga sawit yang menyebabkan pendapatan isi rumah menurun lebih 100 %. Nilai satu tan sawit pada hari ini hanya serendah RM300 ke RM400 berbanding RM800 sewaktu pemerintahan terdahulu. Hasil jualan sawit yang merundum teruk menyebabkan pendapatan peneroka jatuh mendadak sehingga membebankan perbelanjaan bulanan mereka serta menganggu operasi perladangan.
Dengan penyusutan nilai dagangan sawit di peringkat antarabangsa, ditambah dengan hutang peneroka yang tidak diberi penangguhan oleh Kerajaan Pakatan Harapan, ianya menambahkan kesusahan peneroka. Menurutnya, jika hutang yang mencecah sehingga RM1,300 sebulan, ia secara tidak langsung menyebabkan pendapatan bulanan peneroka hanyalah sekitar RM300 sebulan setelah ditolak komitmen hutang. Malah, ada keluarga yang pernah terima pendapatan berbaki 33 sen sahaja untuk bulan tersebut selepas ditolak jumlah hutang.
Hakikatnya, kualiti kehidupan peneroka sehingga kini di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan tidak bertambah baik dan terus dihimpit dengan bebanan kos sara hidup. Kertas Putih FELDA ada menyentuh mengenai perihal ini, namun masih belum ada tindakan afirmatif yang diambil oleh Kerajaan sehingga hari ini. Beliau menyarankan agar pihak Kerajaan menyegerakan tindakan supaya tidak terus membebankan rakyat dan bertekad agar terus menyuarakan suara warga Felda khususnya di Sembrong. Semoga ada sinar buat nasib peneroka felda.
Sumber: Facebook Hishammuddin Hussein
Leave a Reply