JOHOR BAHRU, 30 April 2019 –

Hari ini telah berlangsungnya Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang telah dipengerusikan oleh YB Datuk IR Hasni Haji Mohammad selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.

Mesyuarat yang berlangsung hampir 3 jam itu telah dihadiri oleh kepimpinan-kepimpinan tertinggi UMNO Negeri Johor. Ini termasuklah 26 orang Ketua Bahagian serta Ketua-Ketua Sayap UMNO Johor.
Antara hasil mesyuarat tersebut, UMNO Johor telah menyentuh beberapa perkara dan membangkitkan beberapa usul. Antara perkara yang disentuh ialah berkenaan perjalanan mesyuarat-mesyuarat UMNO di peringkat cawangan yang dilihat positif dan berjalan dengan lancar. Perkara ini jelas menggambarkan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi terus setia bersama parti.
Kesetiaan di peringkat akar umbi telah dibantu oleh usaha bersama Wanita, Pemuda serta Puteri di peringkat cawangan dan bahagian. Menurut Hasni, lebih 90% cawangan-cawangan daripada 2294 cawangan dalam negeri Johor telah mengadakan mesyuarat cawangan mereka.
Tambah Hasni lagi, UMNO Johor telah membuat semakan keahlian UMNO dan melakukan proses pemutihan sehingga April 2019. Hasil semakan mendapati keseluruhan ahli UMNO di negeri Johor adalah seramai 439, 641 orang. Jumlah ahli UMNO yang ramai ini dibantu oleh faktor sokongan orang-orang muda dimana jumlah pendaftaran ahli UMNO dari kalangan orang muda telah meningkat hampir 45,000 orang.
Dalam mesyuarat tersebut, UMNO Johor secara muafakat telah mengambil ketetapan untuk menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan. Ini bermaksud bahawa Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor yang diamalkan di negeri ini mesti dipertahankan. Tegas Hasni lagi, UMNO Johor tidak akan berkompromi tentang peranan dan tanggungjawab parti untuk mendukung Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.
Pada masa yang sama, UMNO Johor telah menetapkan pendirian untuk menyokong usul menurunkan had usia pengundi pilihanraya pada usia 18 tahun. UMNO Johor turut menyokong hasrat Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkenaan beberapa pindaan. Sebagai contoh bukan sahaja menurunkan ke usia 18 tahun tetapi mengimbangkan pendaftaran pengundi secara automatik apabila mencecah usia 18 tahun.
Leave a Reply