
JOHOR BAHRU, 2 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Haji Mohamad melihat penyatuan ummah antara parti itu dan PAS bukanlah sama sekali mengenepikan mana-mana bangsa dan agama lain di negara ini malah ianya akan mendatangkan manfaat yang cukup besar kepada seluruh rakyat dan negara itu sendiri.
Berucap pada Ceramah Perdana Penyatuan Ummah Negeri Johor di sini, Rabu malam beliau menegaskan ianya juga sama sekali tidak menggugat perjanjian yang telah dipersetujui dahulu malah turut bernaung di bawah Perlembagaan negara sebagai jaminan.

“Bercakap soal penyatuan ummah ini, jika kita berbincang dan berbual dengan mana-mana peringkat mana sekalipun…percayalah bahawa harapan ahli UMNO di bawah…begitu juga masyarakat luar sana kalau kita himpunkan semuanya menyatakan dan meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada usaha yang kita lakukan ini.
“Mereka ingin lihat penyatuan ummah ini dapat diterjemahkan dan secara peribadi saya berdoa penyatuan ummah ini berjaya. Tentunya kita akan lebih rasa kekok…baik ahli UMNO mahu pun ahli PAS…kita perlu lagi masa supaya kita benar-benar dapat hayati dan akhirnya dapat menjiwai penyatuan ummah sebagai satu prasyarat penting kalau ingin lihat negara kita terus maju, aman dan makmur.




“Kita harap penyatuan ini bukan hanya menjurus kepada pilihan raya umum (PRU) semata-mata sebaliknya di sinilah kita dapat menikmati kemanisan faedah manfaatnya apabila kita bersatu dan sama-sama membulatkan tekad untuk menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya. – UMNO ONLINE
Leave a Reply