JOHOR BAHRU 8 Mei – Dekad malap Johor sudah bermula selepas setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih negeri ini tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan malah dibuktikan dengan lima petunjuk kegagalannya.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, petunjuk pertama apabila Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 tidak menunjukkan pelan atau strategi ekonomi kerajaan negeri yang meyakinkan dan membuahkan hasil.
“Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030, setelah meneliti pelan tersebut, kalau pun boleh dianggap sebagai pelan, kita masih tercari-cari apakah lonjakan yang diberikan PH dalam hal ini?
“Selain menjenamakan semula inisiatif lepas, tidak wujud satu naratif ekonomi baharu yang ditawarkan. Sedangkan pelan ini dikatakan sebagai pelan jangka masa panjang. Tetapi tidak pula ada perkara-perkara seperti ‘tindakan segera’, ‘Inisiatif Lima Tahun Pertama’ dan ‘lonjakan terakhir’ yang akan melengkapkan keseluruhan proses. Tidak ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, perkara kedua adalah berkenaan prestasi dan kedudukan kewangan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini yang tidak diketahui perkembangan atau laporannya sehingga kini.
Perkara ketiga pula katanya, pelan pengangkutan awam dan infrastruktur yang tidak ada perkembangan memberangsangkan seperti projek Sistem Transit Pantas (RTS) dan juga Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang kini boleh dilupakan.
“Kesemua ini meninggalkan kita dengan persoalan yang merunsingkan. Adakah tambak Johor akan kekal menjadi laluan sempit, sesak dan menyusahkan semua hanya kerana ego pemerintah yang tidak mahu berlapang dada,” soalnya.
Keempat ujarnya, perumahan dan kemudahan kebajikan asas seperti skim air percuma dan kad kesihatan Johor adalah perkara yang masih tidak dilaksanakan dengan baik.
Jelasnya, bukan sahaja kuantiti air percuma dikurangkan kepada penerima yang layak tetapi gangguan demi gangguan terus berlaku sehingga air Johor terpaksa dicatu berkali-kali biarpun tarif air Johor kekal sebagai antara yang termahal di Malaysia.
Dalam konteks perumahan katanya, lebih merisaukan kerana sehingga kini belum dengar sebarang perkembangan dan strategi untuk menjayakan sasaran membina 100,000 unit rumah mampu milik bermula 2018.
“Jangan sampai rumah mampu milik, jadi sekadar rumah mampu umum. Sebenarnya kita pun tidak tahu sudah berapa unit rumah mampu milik yang siap selepas setahun PH mentadbir Johor. Kalau ikut sifir mudah, sekiranya belum sebiji pun siap, ini bermakna dalam tempoh empat tahun mendatang, kerajaan negeri mesti membina kira-kira 25,000 unit rumah mampu milik setahun.
“Ini bersamaan dengan sekurang-kurangnya 2,083 buah rumah mampu milik mesti dibina dan disiapkan setiap bulan. Besar bukan janji mereka? Maka besar lagi harapan rakyat. Kita tunggu sahajalah,” katanya.
Perkara kelima kata Mohamed Khaled, agenda Melayu dan bumiputera Johor sehingga kini, kerajaan negeri masih belum mengemukakan sebarang pendirian mahupun pelan terperinci untuk orang Melayu dan Bumiputera.
Polisi menggalakkan Orang Melayu tinggal di bandar dan pelan pembangunan Kota Melayu Larkin yang disusun sebelum ini telah diketepikan oleh PH sepenuhnya sedangkan jika mengikut pelan tersebut katanya, Larkin akan menjadi kota dan pusat bandar baharu kepada orang Melayu di Johor.
“Semua ini akan membuka lebih banyak ruang kepada orang Melayu dan Bumiputera. Terutamanya dalam menjadi pengimbang kepada projek Forest City,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Leave a Reply