JOHOR BAHRU, 1 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berharap tumpuan parti hari ini terus kepada sasaran yang sebenar dan tidak bertelagah antara satu dengan yang lain di dalam parti sendiri kerana akhirnya ia tidak menguntungkan parti.
Apa yang perlu difokuskan adalah gerak kerja semasa parti dan tentunya agenda penyatuan ummah yang hari ini telah menjadi bualan kepada masyarakat umum.
Pergerakan Pemuda UMNO Johor menyambut baik kenyatan Ketua Pemuda UMNO, DatuK Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung pengumuman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas selaku Presiden UMNO setelah bercuti agar ianya tidak harus mencetuskan polemik baru di kalangan ahli.
Memang benar dan betul perkara tersebut tidak perlu dijadikan polemik mahu pun perkara baru yang menjadi masalah kepada parti. Ini kerana sepertimana kenyataan pelbagai pihak, ia selaras dengan Perlembagaan Parti dan hak mutlak beliau selaku Presiden Parti yang sah.
Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata pengumuman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas selaku Presiden UMNO setelah bercuti tidak harus mencetuskan polemik baru di kalangan ahli kerana ia selaras dengan Perlembagaan Parti dan hak mutlak beliau selaku Presiden Parti yang sah.
Katanya di kala Regim Pakatan Harapan (PH) yang haru biru dan sedang mengalami pergolakan dalaman yang kronik, UMNO harus menumpukan usaha untuk membela nasib rakyat yang kian sengsara dengan pelbagai dasar PH yang menyusahkan mereka.
Apa yang perlu dilaksanakan hari ini adalah menyantuni dan menyelami suara hati rakyat yang rata-rata tidak berpuas hati dengan kerajaan yang ada hari ini.
Sehubungan itu janganlah kita bertelagah sesama sendiri apatah lagi sepertimana yang diperkatakan tadi menyerang antara satu dengan yang lain. Kenalilah musuh kita yang sebenar dan fokus kepada kepincangan dan kecelaruan di dalam PH.
MOHD HAIRI MD SHAH
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor
Leave a Reply