ISKANDAR PUTERI 7 Julai – Satu memorandum diserahkan wakil Dewan Muda Johor (DMJ) kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad di pejabatnya di Kota Iskandar di sini hari ini.

Memoradum itu disampaikan kepada Ketua Pembangkang atas tujuan menyampaikan cadangan dan gesaan DMJ untuk mereformasi DUN Johor yang dilihat sedikit hambar selepas lebih satu tahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri.
Koordinator DMJ, Ahmad Solehin Abd. Ghani berkata, dalam memorandum tersebut pihaknya berharap agar cadangan dan gesaan itu akan dibawa dan diangkat oleh pembangkang dalam DUN Johor secara usul khas pada persidangan yang akan datang.
“Antara cadangan yang dicadangkan oleh DMJ untuk mereformasi DUN Johor adalah seperti melantik wakil pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) dan mewujudkan Jawatakuasa Khas Terpilih DUN terutama DUN Selecet Committee berkaitan Bajet Johor.
“Begitu juga mencadangkan live streaming dan Facebook live untuk Persidangan DUN yang akan datang selain meminda peraturan mesyuarat DUN Johor.
“Tujuannya bagi membenarkan pembahas sama ada Menteri Besar, barisan Exco atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima soalan lisan atau celahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE
Leave a Reply