JOHOR BAHRU, 9 Julai – Umum untuk diketahui, salah satu manifesto kerajaan Pakatan Harapan ialah melantik Pengerusi PAC dari kalangan Blok Pembangkang. Sejak tampuk pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor, sudah dua kali Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) dilantik dari kalangan Blok Kerajaan.
Baru-baru ini, YB Tan Hong Ping dari DAP (Skudai) telah dilantik sebagai Pengerusi PAC Negeri Johor. Pelantikan kali kedua dari Blok Kerajaan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan Johor tidak menunaikan janji manifesto mereka dan turut memberi gambaran yang Kerajaan Negeri Johor kini sangat takut dengan pembangkang.
Apa yang mengecewakan, pelantikan kali kedua daripada YAB Menteri Besar ini sangat jelas bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan bagi tujuan mewujudkan entiti “semak dan imbang” yang berkesan kepada kerajaan negeri. Terdahulu, pelantikan Pengerusi PAC Negeri Johor juga dari kalangan Blok Kerajaan iaitu YB Tan Chen Choon (DAP) yang kini telah dilantik sebagai EXCO Kerajaan Negeri Johor. Kedua-dua Pengerusi PAC yang hadir dari parti DAP jelas menunjukkan kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Dr Sahruddin Jamal memberi keistimewaan kepada DAP Johor.
Pada masa yang sama, UMNO Johor turut menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan Johor tidak serius untuk melaksanakan apa yang sering mereka perjuangkan dahulu seperti reformasi DUN. Perkara sama turut dibangkitkan oleh anak muda Johor yang diwakili oleh Dewan Muda Johor (DMJ), yang mana telah mendesak kerajaan negeri untuk melakukan reformasi DUN.
DMJ dalam satu kenyataan telah memberi pandangan bahawa ,peranan dan mandat PAC adalah sangat penting untuk menyemak semua akaun awam serta memeriksa laporan audit negeri. PAC mempunyai kuasa untuk menyiasat semua urusan kerajaan dengan memanggil barisan EXCO dan ketua agensi kerajaan untuk menjelaskan sebarang kemusykilan pihak jawatankuasa sendiri mahupun oleh orang ramai. Ujar DMJ lagi, “jika Pengerusi PAC dilantik daripada ADUN kerajaan, maka dikhuatiri berlakunya siasatan tidak telus dalam soal perbelanjaan kerajaan negeri, dan pelbagai lagi”.
Perkara ini turut diperkatakan oleh Pengerusi PKR Johor, YB Hassan Karim sebelum ini yang meminta pentadbiran Pakatan Harapan di Kota Iskandar untuk membenarkan anggota pembangkang dilantik menjadi pengerusi PAC di Dewan Undangan Negeri. Beliau turut membidas kerajaan negeri Johor dengan berkata, “kalau kita cakap reformasi, kenapa kita takut? Lantiklah pembangkang,”. (Sumber Malaysiakini : https://www.malaysiakini.com/news/435979 ).
Namun begitu, sudah terang lagi bersuluh bahawa Kerajaan PH Johor tidak menampakkan sebarang usaha untuk menunaikan janji manifestonya mengenai reformasi DUN Johor. Perkara ini sememangnya telah mengecewakan keseluruhan rakyat Johor amnya yang mahu melihat tatakelola demokrasi yang lebih baik di peringkat DUN Johor.
Leave a Reply