Hasni rasmi Mesyuarat Agung Koperasi Ketua-Ketua Kampung Negeri Johor Berhad Kali Ke-13 Tahun 2019
MUAR, 21 Julai – Petang tadi telah berlangsungnya Mesyuarat Agung Koperasi Ketua-Ketua Kampung Negeri Johor Berhad Kali Ke-13 Tahun 2019 di Kompleks Marina Bay, Tanjung Emas, Muar.
Dalam ucapan pengerusinya, Tuan Haji Sugimon Haji Said beriltizam untuk membawa perubahan kepada koperasi dan sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik.
Majlis yang disempurnakan oleh YB Datuk Ir. Haji Hasni Mohammad turut dihadiri oleh Encik Morsidi, Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Muar. Terdahulu, Hasni dalam ucapan perasmiannya menyatakan koperasi yang ada ini merupakan salah satu pemacu ekonomi bagi ahli-ahlinya untuk menambah pendapatan dengan lebih baik. Beliau juga berpesan meminta agar pengerusi-pengerusi yang ada untuk berusaha mendapatkan keuntungan supaya ia dapat dinikmati dan dirasai oleh ahli-ahlinya.
Dalam memantapkan koperasi ini, Hasni berpendapat Kerajaan Negeri Johor seharusnya mewujudkan dan menyalurkan dana kepada program-program ekonomi yang boleh membawa manfaat kepada seberapa ramai rakyat yang mampu. Beliau juga berpesan kepada Kerajaan Negeri Johor supaya tidak memandang sekelip mata kekuatan-kekuatan yang ada pada ketua-ketua kampung sebelum ini.
Hasni turut mengingatkan kerajaan negeri bahawa realiti yang berlaku hari ini adalah isu pelantikan ketua kampung. Pelantikan baharu ini dilihat tiada asas dan kerajaan dilihat tidak tahu ukuran prestasi serta pencapaian ketua-ketua kampung yang baharu.
Hasni juga berharap Kerajaan Negeri Johor dapat merangka program-program yang lebih besar untuk Ketua-Ketua Kampung supaya mereka mampu memacu ekonomi. Ujar Hasni lagi, ketika Kerajaan BN memerintah dahulu BN telah merangka program-program besar yang khusus buat orang Melayu dan melahirkan usahawan-usahawan baru.
Beliau yang merupakan ADUN Benut, menyatakan kebimbangannya kepada kerajaan negeri sedia ada kerana tiada dasar-dasar dan program-program baharu untuk kepentingan orang Melayu secara konsisten.
Akhir sekali, Hasni mengingatkan bahawa tumpuan yang serius harus diberikan kepada koperasi-koperasi, persatuan-persatuan dan lain-lain supaya kebajikan ahlinya terus terjaga.
Leave a Reply