Pemuda UMNO Sembrong mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Koon Yew Yin yang begitu angkuh dan sombong menuduh anggota ATM hanya makan dan tidur. Beliau bukan sahaja telah mengguris perasaan anggota, veteran ATM dan ahli keluarga mereka, tetapi juga menghiris luka ke atas setiap hati rakyat Malaysia yang selama ini menyanjungi, menghargai dan meyakini keupayaan ATM.
Hakikatnya, selama ini anggota ATM lah yang bekerja siang malam demi memastikan negara terus aman dan makmur dengan menjaga persempadanan negara dari dicerobohi musuh, mempertahankan keselamatan perairan Sabah dan Sarawak dari ancaman ekstremis, menghalang penularan ideologi ISIS, membantu rakyat ketika negara ditimpa bencana-bencana besar dan membantu memulihkan keamanan di negara-negara bergolak.
Jadi, apa lagi sebenarnya yang Koon Yew Yin harapkan daripada anggota ATM? Takkanlah apabila anggota ATM menghunus senjata dalam peperangan di negara kita ini, barulah beliau hendak akui yang anggota ATM buat kerja?
Pemuda Sembrong juga kecewa dengan sikap tidak ambil peduli Menteri Pertahanan yang sehingga sekarang masih membisu tentang kenyataan Koon Yew Yin. Sepatutnya, dalam keadaan ATM dihina, beliaulah yang paling terkehadapan dalam mempertahankan anggota ATM dan mengkritik pihak yang menidakkan ATM. Timbalannya pun tidak boleh harap, hanya menceritakan tentang peranan ATM namun langsung tidak menyentuh tentang pendirian Koon Yew Yin.
Apapun, Pemuda Sembrong yakin, semangat anggota ATM untuk terus menyumbang khidmat bakti demi keamanan dan keselamatan negara tidak akan pernah luntur hanya kerana sikap segelintir mereka yang tidak tahu menghargai seperti ini. Teruskan usaha dan perjuangan kalian. InsyaAllah, dalam apa jua keadaan, Pemuda Sembrong akan terus berdiri teguh dan tetap bersama-sama anggota ATM!
Hafiz Ariffin,
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sembrong
Leave a Reply