
JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor akan mencadangkan nama anak tempatan Tanjung Piai sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu.
Pengerusi Barisan Nasional Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri hari ini sebulat suara menolak cadangan meletakkan calon luar bertanding di kawasan itu.
Beliau yakin masih ada masa untuk meningkatkan peluang kemenangan BN di Parlimen Tanjung Piai, namun memerlukan komitmen termasuk parti komponen memperkukuh jentera masing-masing.
“Itu (kriteria calon) saya boleh sahkan, BN Johor akan mempunyai calon tempatan, kalau calon luar Badan Perhubungan (UMNO) pun tidak bersetuju.
“Kita sudah buat penetapan berhubung spekulasi calon luar itu dan dalam mesyuarat petang tadi tiada bincang mengenai spekulasi calon luar berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di Bangunan UMNO Johor di sini, hari ini.
Mesyuarat turut dihadiri 20 Ketua UMNO Bahagian Johor termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Tan Sri Shahrir Abdul Samad (Johor Bahru) dan Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), manakala enam lagi diwakili Bahagian masing-masing.
Hasni berkata, mesyuarat turut bersetuju mengemukakan Deklarasi Tanjung Piai pada Konvensyen UMNO Johor, 5 Oktober ini.
“Antara lain, Deklarasi Tanjung Piai akan menggariskan usaha parti dalam meminda perlembagaan dan menjayakan Muafakat Nasional,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hasni berkata, UMNO Johor sebulat suara menyokong Hishammuddin untuk dipilih sebagai Setiausaha Agung BN.
Sumber: Berita Harian
Leave a Reply