STRATEGI TERBAIK AKAN MENANG

HARI ini Badan Perhubungan UMNO Johor akan mengadakan mesyuarat persediaan Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Tanjung Piai. Agenda utama mesyuarat difahamkan untuk memuktamadkan nama calon. Selaku Pengerusi BN negeri, DATUK IR. HASNI MOHAMMAD telah berjumpa dengan kepimpinan tertinggi MCA dan MIC negeri selain turut mengadakan pertemuan dengan Pas bagi mendapatkan maklum balas berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) pertama di Johor itu.

Ini supaya pemilihan calon dilakukan dengan teliti serta mengambil pandangan semua pihak berkepentingan. Setakat ini BN belum mengumumkan siapa Pengarah PRK Tanjung Piai. Hasni dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL Jumaat lalu menjelaskan prinsip dan pendirian BN Johor dalam persaingan PRK Tanjung Piai. Tarikh pengundian PRK itu dijangka diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya dalam mesyuarat badan itu esok, Selasa 1 Oktober.

UTUSAN: Ini julung kali selaku Pengerusi BN Johor, Datuk akan berdepan PRK pertama di negeri ini. Apa persediaan yang paling utama?

HASNI: PRK Tanjung Piai ini ibarat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Di peringkat awal yang penting ialah saya perlu pastikan UMNO dan BN menyusun jentera masing-masing. Kita perkukuhkan lagi kerjasama dan pengetahuan dalam kalangan ahli-ahli UMNO. Saya sudah minta MCA merapatkan barisan supaya tidak kira parti mana bertanding, kita perlu tingkatkan semangat BN dan semuanya berikrar untuk merampas kembali kerusi ini kembali ke tangan BN.

UTUSAN: Ada tanggapan mengatakan BN akan kalah sebelum masuk gelanggang lagi jika meletakkan calon dari MCA, bukan UMNO dalam PRK ini?

HASNI: Kita akan meraih sokongan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Saya cuma berharap dalam parti (UMNO dan BN) tidak membuat sebarang andaian sebaliknya letak pada pucuk pimpinan untuk buat keputusan calon. Semua faktor diambil kira, bukan hanya meletakkan calon boleh menang tetapi kemenangan itu hasil sokongan semua pihak. Dan konon meletakkan calon MCA di Tanjung Piai akan kalah itu bukan sesuatu yang BN Johor boleh terima. Cuma jangan orang Melayu hanya sokong calon Melayu, Cina sokong Cina. Itu bukan matlamat BN Pusat. Bukan konsep BN Johor.

UTUSAN: Jadi, andaian MCA bertanding akan kalah tidak benarlah?

HASNI: Itu (tanggapan) realitinya tidak sihat pada masa depan kalau Melayu hanya sokong Melayu, Cina hanya sokong Cina. Di Johor ini banyak juga kerusi marginal di mana sokongan keduadua bangsa itu perlu untuk perkuatkan bangsa Johor. Kita tidak boleh nafikan sumbangan satu-satu kawasan dalam kerusi marginal.

Kita tidak boleh hantar mesej yang salah dalam PRK ini. Sesuatu kawasan itu bukan hanya satu-satu kaum tentukan kemenangan. Dalam PRU-14 lepas, calon BN tidak mungkin kalah kalau orang Melayu berdiri teguh di belakang UMNO. Akhirnya terbukti kalah

Dalam aspek ini UMNO perlu perkuatkan sokongan dalam kalangan orang Melayu dan MCA perlu kuat untuk dapatkan sokongan bukan Melayu. Kita sedari di Johor sama ada pengundi Melayu 55 peratus dan 45 peratus Cina, selama ini Johor telah berjaya memupuk suasana muafakat yang baik antara kaum. Keharmonian antara kaum menjadi kekuatan UMNO Johor. Konsep ini hendak saya pertahankan demi survival UMNO dan BN Johor.

UTUSAN: Namun pandangan yang ‘disiapkan’ lagi dengan analisis pihak dari luar Johor tetap ‘merumuskan’ MCA sukar meraih undi kaum Cina di Tanjung Piai nanti. Benarkah?

HASNI: Sebab itu MCA perlu kuat berusaha untuk mendapatkan sokongan masyarakat Cina. Kalau UMNO itu kuat, UMNO pun boleh mendapat sokongan kaum Cina. Dengan itu kita boleh berdepan dengan sesiapa juga.

UTUSAN: Dengan gelombang Himpunan Penyatuan Ummah UMNO-Pas yang mencetuskan Piagam Muafakat Nasional, kata mereka di luar sana, PRK Tanjung Piai ini ujian pertama sejauh mana berkesannya kesepakatan dua parti Melayu terbesar itu. Bukan begitukah?

HASNI: Ketika piagam Muafakat Nasional UMNO-Pas dimeterai, kita kata Muafakat Nasional ini tidak bersifat perkauman. Kalau Muafakat Nasional boleh satupadukan masyarakat Melayu, kerjasama itu seharusnya membawa kemenangan BN atau mampu merampas kerusi Tanjung Piai ini daripada Pakatan Harapan (PH). Ia bukannya suatu Muafakat Nasional yang tidak sokong calon bukan Melayu atau sokong calon Melayu sahaja sehinggakan kita tidak fikir itu suatu Muafakat Nasional.

Jika kita ahli dan pemimpin UMNO disenangi penyokong-penyokong dalam komponen BN, maka dalam parti sendiri, orang Melayu lebih senang. Tetapi kalau bangsa lain pun tidak suka dengan kita, orang lain lagilah susah nak suka dengan kita. Bukankah suatu kelebihan jika bangsa lain pun suka dengan kita? Dalam hal ini, tidak semestinya MCA banyak kerusi mereka kalah dalam PRU lepas, maka kita pun tidak suka dengan pengundi Cina. Hanya kerana MCA kalah, kita anggap Cina tidak sokong kita.

UTUSAN: Ada kekhuatiran dilontarkan kalau BN masih letakkan calon bukan Melayu di Tanjung Piai, Pas mungkin tidak menghantar jentera pilihan raya parti itu untuk membantu UMNO?

HASNI: Pas juga tidak pernah tolak sokongan pengundi bukan Melayu. Jadi, semua parti pun mengharapkan sokongan daripada pelbagai kaum. Saya tidak fikir Pas hanya wujud untuk membela orang Melayu sahaja.

Ujian paling besar dalam menghadapi PRK ini ialah sejauh mana kita mampu bersikap tolak ansur. Ini merupakan gelanggang PRK di mana dua parti (PH dan BN) yang mempunyai strategi paling berkesan dan terbaik sahaja akan menyaksikan peluang untuk menang lagi tinggi.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA (30 September 2019)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

WordPress.com.

Up ↑

Komuniti Johor

Selatan Negeri Kami

@JohorTimes

Reporting Daily News

Negara Insider

We Fight Because We Believe

MediaRakyat

#MediaRakyat #RakyatBangkit #NajibRazak #NajibRazakFans #UMNO #BarisanNasional #Malaysia

Ahmad Ali Karim's Weblog

probably one of the youngest blogger ...

UMNO Online

Laman Berita Rasmi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO

Discover

A daily selection of the best content published on WordPress, collected for you by humans who love to read.

%d bloggers like this: