
JOHOR BAHRU, 7 Oktober: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak ada hasrat untuk mewujudkan UMNO baru, Melayu baru atau Malaysia baru melainkan mahu kembali kepada Malaysia yang asal dan kuat menerusi sokongan ahli dan bangsa-bangsa lain.
“Kita tahu bahawa UMNO tidak akan menang tanpa dukungan bangsa lain, ini hakikat yang berlaku. Saya percaya bahawa dengan dukungan ahli UMNO dan bangsa lain, negara kita akan terbina semula,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Konvensyen UMNO Johor 2019, di Johor Bahru 5 Oktober lalu.
Justeru katanya, ahli parti tidak boleh terbelenggu dengan pemikiran ‘UMNO-centric’ dan berkisar dalam kalangan ahli sahaja, sehingga terlupa bahawa persada perjuangan sebenar adalah dunia orang Melayu keseluruhannya bersama kaum-kaum lain dan Malaysia dengan memayungi seluruh rakyatnya.

“Sebab itu pada saya, kita harus menolak politik personaliti. UMNO tidak akan berkelangsungan dengan hanya pemujaan terhadap mana-mana tokoh tertentu dan pemimpin tertentu. UMNO perlu bergerak sebagai satu pasukan yang mantap
“… seperti yang saya sering katakan, kita harus meperjuangkan kesatuan kita. Yang kalah jadi arang, yang menang jadi abu, yang rugi itu Islam, yang rosak itu Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Zahid turut membayangkan bahawa UMNO mungkin akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November akan datang.
“Tanjung Piai akan jadi kajian lapangan. Ia kerusi tradisi MCA tetapi kita tahu hampir 57 peratus daripada pengundi kawasan itu adalah orang Melayu.
“UMNO dan masyarakat Tanjung Piai mahukan pembaharuan tetapi MCA juga mahu mengekalkan tradisinya.

“Namun tidak ada sesuatu yang mustahil, jika MCA dapat berbesar hati dan berlapang dada dalam masa yang sama UMNO juga jangan mengenepikan MCA dan undi masyarakat Cina, ” katanya di hadapan lebih 600 perwakilan UMNO Johor.
#UMNOJohorOfficial #MadeInJohor #DisiniLahirnyaUMNO #AmaldanUsaha #UMNOJohorBangkit #KonvensyenUMNOJohor2019 #KUJ2019 #PRKTanjungPiai

Leave a Reply