Ucapan Dasar Konvensyen UMNO Johor: “Membumi Semangat Nasionalisme Melayu Baru”

MUKADIMAH

• Diangkatkan segala puji kepada Allah S.W.T kerana telah mengizinkan, dengan Rahmat dan kebesaran-Nya untuk kita semua berada di Konvensyen UMNO Negeri Johor pada pagi ini.

• Kepada Tan Sri Abdul Ghani Othman, mantan Menteri Besar Johor – terima kasih Tan Sri, kerana sudi hadir ke Konvensyen UMNO Johor kali ini. Amat besar hati kita menerima kedatangan Tan Sri, semoga apa yang disampaikan nanti di Bicara Tokoh, bakal memanfaatkan kita semua hendaknya.

• Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pimpinan UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri dari segenap pelusuk Negeri Johor yang dapat hadir untuk menjayakan konvensyen kita pada hari ini. Tidak pernah walau sesaat pun saya meragui akan semangat dan iltizam ahli UMNO di Johor ini. Ia tidak pernah menjadi lesu, luntur, pudar, tak berdaya dan lemah untuk meneruskan perjuangan.

• Malah sejak PRU 14, pada 9 Mei 2018, UMNO dan sayap-sayapnya terus menjalankan Mesyuarat Perwakilan Bahagian-Bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri. Kita telah hadiri Perhimpunan Agung UMNO, kita sertai ICERD, kita bantah Statut ROME, kita sertai Himpunan Penyatuan Ummah dan banyak lagi program-program dan pertemuan yang UMNO Johor turut santuni.

• Bukan itu sahaja, malah UMNO Johor jalinkan hubungan dengan Foundation for Political, Economic and Social Research (SETA) yang berpengkalan di Istanbul, Turki. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula telah pergi ke Tunisia untuk memahami model politik Islam yang sesuai untuk dipraktikkan di Malaysia.

• Selain itu, pemilihan pucuk pimpinan Parti juga tidak UMNO Johor pandang remeh. Seramai 17 pemimpin Johor bertanding dalam pemilihan Majlis Tertinggi – 3 Wanita UMNO, 18 Pemuda UMNO dan 4 Puteri UMNO. Kedudukan wakil dari Johor kini dalam barisan pimpinan Pusat berjaya dinobatkan, dengan seorang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, seorang Ketua Wanita UMNO Datuk Dr. Noraini Ahmad, 6 orang menjadi Ahli Majlis Tertinggi, 3 Exco Pemuda dan 2 Exco Puteri.

• Walaupun gagal menubuhkan Kerajaan pada PRU 14, seramai 7 ahli parlimen UMNO, seorang telah melompat, menjadi 6 dan seorang dari MCA, kini telah berada di Dewan Rakyat. Malah kita masih ada 3 orang wakil senator dalam Dewan Negara – YB Dato’ Zahari Sarip, YB Senator Dato’ Fahariyah Md Nordin serta YB Senator Pn. Hjh Rahemah Idris.

• Dalam Dewan Undangan Negeri selepas 9 Mei 2019, kita masih memiliki 17 ADUN UMNO dan 2 ADUN MIC. Malangnya, budaya lompat katak masih lagi diamalkan maka 3 ADUN UMNO telah terjun ke padang yang berlainan – menjadikan 14 ADUN UMNO, 2 ADUN MIC dan 1 ADUN PAS. Kesimpulannya, 17 ADUN berada dalam blok Pembangkang dan 39 di blok Kerajaan.

• Dalam pengalaman saya selaku ahli Majlis Tertinggi dan Pengerusi Badan Perhubungan, saya telah merasmikan 5 Mesyuarat UMNO Bahagian di Johor. Amat menarik ialah, bila 2 bahagian yang saya rasmikan itu, begitu ramai Ketua-Ketua Bahagian yang hadir – bukan hanya dari Johor tapi juga dari luar Johor.

• Saya ingatkan sebab saya, tapi sebenarnya kerana kehadiran YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein hadir. Kita bangga dan gembira kerana pemimpin Johor kita menerima penghormatan sebegitu rupa.

REALITI KEPEMIMPINAN MASA KINI

1. Konvensyen ini merupakan kali pertama saya berucap di hadapan saudara dan saudari, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor. Juga adalah pertama kalinya, kita semua berkonvensyen dan berkumpul, tatkala Negeri Johor Darul Takzim tidak lagi berada di bawah lambayung penjagaan UMNO.

2. Saya ingin memulakan ucapan saya, dengan menginsafi hakikat bahawa, setiap amanah dan tanggungjawab yang digalaskan ke atas bahu-bahu kita, telah diikat dengan simpulan mati bersama tali-tali aturan Sunnatullah, Tuhan Rabbul Jalil.

3. Sunnatullah iaitu – setiap yang bermula pasti akan berakhir, setiap yang di atas pasti akan di bawah, dan setiap yang berkuasa itu pasti akan hilang kuasanya. Itu adalah aturan alami, yang paling fitrah dan yang paling hakiki.

4. Betapa besarnya kuasa Tuhan, setelah lebih 70 tahun UMNO memimpin, membangun dan mengemudi bangsa Melayu serta Malaysia – pada 9 Mei 2018, amanah dan tanggungjawab itu sudah direntap kuat dari bahu-bahu kita. Lalu dalam terkesima dan termangu kita bertanya-tanya – di manakah silapnya?

Para Perwakilan Sekalian,

5. Kita telah diperingatkan oleh seorang pemimpin tertinggi parti, ketika UMNO berusia 59 tahun – bahawa parti sedang menghadapi defisit kepercayaan yang cukup berat – dan jika tidak ditangani, ia bakal memusnahkan UMNO buat selama-lamanya.

6. Antara punca kepada defisit kepercayaan tersebut adalah:

A. Pertama: Kita telah terlalu lama berada di tampuk kuasa, maka sebahagian pemimpin UMNO tidak serapat dahulu dengan rakyat jelata yang selama hari ini menjadi akar kewujudan UMNO. 
B. Kedua: Kurang memahami perubahan masyarakat luar bandar dan bandar lalu kita selalu mencampur-adukkan pelbagai naratif politik bagi kedua-dua kawasan tersebut. 
C. Ketiga: Kerana program-program politik UMNO yang kurang berkesan mendampingi generasi muda, selain hanya berharap kepada bantuan pelbagai institusi kerajaan dalam menjayakan aktiviti akar umbi. 
D. Keempat: Perbalahan berpanjangan sesama sendiri terutama dalam kewujudan ‘kem-kem’ yang diketuai oleh individu-individu  berpengaruh negeri, demi kelansungan politik peribadi masing-masing. 
E. Kelima: Wujud sifat mengutamakan kebendaan hingga menjadikan sebahagian ahli bersifat tamak, bersifat haloba, lalu memberikan persepsi negatif bahawa UMNO adalah parti yang korup. 

7. Yang disebutkan ini adalah sifat kelemahan kita. Mungkin yang disebutkan ini juga adalah sesuatu yang amat mudah dan amat kecil. Namun perkara-perkara kecil ini lah yang selalu dilupakan dan diketepikan atas anggapan – kita masih punya masa untuk memperbaikinya pada hari mendatang.

8. Maka hari bersilih hari, tahun berganti tahun, sehingga kini kita masih mempunyai sifat-sifat tersebut. Dan atas sebab itulah, UMNO telah gagal ‘menguruskan kejayaan sendiri’. Maka di sini saya ingin mengesahkan bahawa, ya, kita telah gagal mengurus kejayaan sendiri. Ditambah pula dengan segala kemegahan dan kenikmatan kuasa, kita masih tidak menginsafi dan gagal menyedari, bahawa tali-tali Sunnatullah masih mengikat setiap tatakelola dan pembawakan parti.

9. Bahawa – dengan setiap laungan ‘Hidup UMNO’ dan ‘Hidup Melayu’, kita telah terpedaya dengan keupayaan diri untuk membebaskan nasib parti dari simpulan-simpulan mati tali Sunnatullah. Maka pada ulangtahun UMNO yang ke-72, kita telah dihentak oleh realiti dan menerima bahananya.

10. Sesungguhnya, apa yang telah berlaku ini, telah diingatkan juga oleh Allah SW.T dalam Surah Ali-Imran ayat ke 140:

Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Saudara-Saudari Sekalian,

11. Berhimpunnya kita di sini, bukan untuk meratapi kekalahan dan menghukum kelemahan. Jangan dibiarkan senandung syahdu kekalahan menguasai diri, lalu menghalang kita untuk meneruskan kelangsungan perjuangan parti.

12. Mahu atau tidak, janganlah sampai kita pula ‘gagal menguruskan kekalahan sendiri’ dan terus bernostalgia tentang memori kegemilangan lalu. Kita seharusnya mula mengorak langkah bersama dan terus cekal bekerja untuk meyakinkan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia semula – bahawa kita sudah berubah, dan kita akan terus berubah.

POLITIK MELAYU PASCA PRU-14

13. Mengapa kita perlu berbuat demikian? Kerana iklim politik Melayu pasca PRU-14 amatlah berbeza dari apa yang pernah kita hadapi sebelum ini. Ia disebabkan oleh:

A. Pertama, kekalahan UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU-14 telah melenyapkan penguasaan total politik bangsa Melayu. Orang Melayu sudah hilang status quo dalam menentukan untung rugi, jatuh bangun dan simpang siur nasib bangsanya sendiri, meskipun kita masih membentuk bangsa majoriti dalam Malaysia. 
B. Kedua, kefahaman mengenai kedudukan orang Melayu, sebagai bangsa teras dalam kemajmukan Malaysia semakin pudar secara perlahan-lahan. Prinsip first amongst equal atau ‘pertama di antara yang sama’ - sebagai prinsip asas pembinaan Malaysia semakin dicabar oleh pihak yang mahu menggantikannya dengan prinsipprinsip yang lain. 
C. Ketiga, pembawakan ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan oleh DAP dan sekutunya telah mengancam, membelenggu dan meresahkan setiap tubuh dan jiwa raga orang Melayu. Samada di desa mahupun di pinggiran bandar, orang Melayu merasakan bahawa ‘Malaysian Malaysia’ telah mencengkam identiti dan jati diri keMelayuan mereka. 

14. Secara keseluruhannya, kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU-14 adalah seakan satu kejanggalan. Janggal kerana hari ini, apabila orang Melayu mahu membela kepentingan bangsanya, mereka dikatakan rasis, tidak toleran dan pada satu ketika digelar pula sebagai ‘Taliban’.

15. Janggal kerana hari ini, apabila orang Melayu mahu mempertahankan kedudukan Islam, mereka dikatakan ekstrim, walhal Islam sudah sedia termaktub sebagai Agama Persekutuan.

16. Janggal kerana hari ini, apabila orang Melayu menuntut haknya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial, maka mereka digelar sebagai pengguna ‘tongkat’ yang tegar dan gagal untuk berdiri di atas kaki sendiri.

17. Tetapi, apabila wujud organisasi-organisasi dan individu yang memperjuangkan hak dan ideologi songang mereka, seperti LGBT, liberalisma dan chauvinisma, mereka pula dibenarkan atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi.

18. Dan, apabila wujud pihak-pihak yang mempersoal hak keistimewaan Melayu dan mempersenda agama Islam serta Raja-Raja Melayu, dikatakan pula mereka sebagai reformis peneraju Malaysia Baru.

19. Maka saya ingin bertanya kepada semua, di manakah Melayu di dalam kejanggalan-kejanggalan ini? Adakah bangsa akan terus layu dan lesu setelah jatuh terduduk, selepas hilang kuasa politiknya pasca PRU-14? Saya enggan mengatakan demikian. Apatah pula mempercayai bahawa orang Melayu tidak lagi punya peranan langsung dalam menentukan survival bangsanya sendiri. Justeru itu, ingatlah – ingatlah bahawa semua yang berlaku ini berpunca daripada kelemahan kita juga, dan kita masih berpeluang untuk memperbaikinya.

Para Perwakilan Sekalian,

20. Dalam keghairahan orang Melayu mempertahankan identiti dan jati diri mereka, telah dilupakan pula satu hakikat yang paling penting. Bahawa orang Melayu, semenjak merdeka malah lebih awal dari itu, telah hidup bersama bangsa-bangsa lain, dan tinggal di dalam sebuah negara yang majmuk nan pelbagai.

21. Kita telah membina sebuah negara bangsa yang maju, progresif dan sederhana. Kita telah menjadi sebuah bangsa penaung kepada kepentingan bangsa-bangsa lain, tanpa prejudis dan seadil mungkin. Kita juga telah menjadi teladan kepada dunia, sebagai sebuah negara majoriti Muslim yang dinamik serta moden.

22. Oleh yang demikian, tidak keterlaluan untuk saya berpendirian bahawa mempertahankan keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara adalah jihad kita bersama. Ia merupakan satu harga mati, yang wajib kita samasama pertahankan – tanpa rundingan dan tanpa kompromi. Tidak berguna jika Malaysia berjaya ditadbir semula oleh orang Melayu, tanpa persetujuan dan kebersamaan daripada kaum-kaum lain.

23. Pada masa yang sama, bila kita merenung pada keadaan di Johor, populasi negeri kita terbentuk dari komposisi-komposisi kaum yang seperti berikut – bangsa Melayu membentuk 55%, kaum Cina pula 29% dan kaum India pada 10%.

24. Oleh yang demikian, moleklah kiranya sebagai sebuah bangsa, atas semangat Muafakat Johor – secara berhikmah menterjemahkan Agenda Penyatuan Ummah UMNO-PAS mengikut cara kita sendiri. Dengan memilih suara pertengahan dan berpada dalam memperjuangkan hak keistimewaan Melayu serta kesucian Islam.

25. Jadilah orang Johor, yang benar-benar Johor – dengan tanpa segan membawa gaya, kelaziman dan ‘pe’el’ kita dalam menjayakan Agenda Penyatuan Ummah UMNO-PAS ini.

26. Janganlah kita menjadi lebih PAS daripada orang PAS. Usahlah kita menyerahkan urusan-urusan parti, aktiviti dan gerak kerja akar umbi kepada PAS, atau secara terus ‘dilonggokkan’ di bawah Agenda Penyatuan Ummah UMNO-PAS kerana ianya mudah dan menjimatkan sumber

27. Jika benar kita adalah pejuang Melayu yang tulen, kita tidak akan menyerahkan bulat-bulat urusan dunia dan akhirat kita kepada orang lain! Waima tatkala nyawa sudah berada di halkum dan darah terakhir sudah menitis dari tikaman-tikaman perjuangan, kita akan tetap meneruskan apa yang sudah dimulakan. Kerana pada akhirnya, UMNO akan tetap menjadi UMNO, walhal PAS akan tetap menjadi PAS.

Saudara-Saudari Sekalian,

MEMBUMI NASIONALISME MELAYU BARU

28. Bukanlah niat saya untuk enggan bersatu. Jauh lagi untuk terus bermusuhan. Tetapi saya percaya, UMNO ialah sebuah gerakan pembaharuan dan amal bakti bangsa, yang harus kekal mendahului. Barangkali apa yang saya katakan ini bukanlah suatu yang popular. Namun saya percaya, ramai antara kita yang memikirkannya – bagaimanakah UMNO, sebagai sebuah parti bertunjangkan Melayu, dapat mengemudi bangsa dalam suasana politik pasca pemeteraian Piagam Muafakat Nasional?

29. Juga – bagaimanakah UMNO berupaya memimpin orang Melayu dalam konteks dunia moden yang saban hari memaksa bangsa untuk menggadaikan nilai-nilai tradisi serta jati dirinya demi keuntungan material dan kelazatan-kelazatan duniawi yang lain?

30. Solusinya? Kita mesti Membumikan Nasionalisme Melayu Baru. Sudah tiba masanya – nasionalisme, atau secara mudahnya bermaksud “perasaan cinta pada negara dan bangsa sendiri” perlu difahami dan diterjemahkan oleh semua ahli parti dan orang Melayu dengan kaedah dan pembawakan yang berbeza.

31. Ada yang bertanya, apakah perlu Nasionalisme Melayu Baru ini? Mengapa perlu yang baru, dan di manakah yang lama? Jawapan saya, ya. Jika kita mahu benar-benar berubah, maka inilah langkah pertama dan yang paling asasi buat kita – iaitu menukar kefahaman terhadap asas perjuangan parti dan bangsa. Di sini saya senaraikan sebab-sebabnya:

A. Pertama, setelah lebih 7 dekad kewujudan UMNO, parti memerlukan satu kefahaman baharu dalam menterjemahkan semangat nasionalisme Melayu - agar ianya tidak ketinggalan zaman, relevan dan sentiasa segar saban masa. 
B. Kedua, semua orang Melayu harus memiliki rasa cinta kepada negara dan bangsa sendiri. Ia bukanlah untuk Melayu di kampung dan pedalaman semata-mata. Ia bukanlah untuk orang Melayu yang menjadi ahli UMNO sahaja. Nasionalisme Melayu Baru, adalah untuk semua orang Melayu - yang moden, yang liberal, yang tradisional, yang konservatif atau apa-apa sahaja label dan lagaknya. 
C. Ketiga, UMNO perlu perlahan-lahan meninggalkan pembawakan Ketuanan Melayu yang sempit dan tertutup. Apalah gunanya jika Melayu menjadi tuan tanah namun pada hakikatnya, masih jauh ketinggalan dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial bangsanya. 

32. Bukanlah kita harus sepenuhnya meninggalkan kesemua kefahamankefahaman lampau. Jika ada yang baik, maka kita perlu sesuaikan dengan keadaan sekarang. Malah, asas-asas Nasionalisme Melayu Baru tetap mengekalkan apa yang telah kita pegang selama ini, iaitu:

A. Pertama, adalah Islam. Islam yang demokratik, progresif dan sederhana - yang memfokuskan kepada isi dan bukan pada ritual, kualiti dan bukan pada kuantiti. Ia harus menjadi asas utama yang paling kukuh dalam Nasionalisme Melayu Baru - kerana tanpa Islam, Melayu akan terus dipandang sebagai sebuah bangsa yang hina dan tidak beradab. 
B. Kedua, adalah Melayu itu sendiri. Di dalam konteks Malaysia moden, Melayu sebagai bangsa teras harus menjadi bangsa yang paling terpelajar, paling kaya, paling progresif dan paling terhormat. Melayu   harus menunjukkan keupayaannya mentadbir serta mengurus bangsa dan negara dengan penuh jujur serta amanah. Jika ini tidak berlaku, maka bangsa akan terus menjadi ‘tuan tanah’ yang paling tidak berkuasa dalam sejarah peradaban manusia. 
C. Ketiga, adalah Malaysia. Nasionalisme Melayu Baru harus mengutamakan tanah air. Kerana ia adalah ladang akhirat kita. Maka berbaktilah kepada tanah-tanahnya dan jagalah nikmat-nikmatnya, agar Malaysia sentiasa kekal dalam kesentosaan. Kendatipun pelbagai naratif dan agenda politik yang UMNO perjuangkan, ia tidak harus menggadaikan potensi dan apa yang ada pada Malaysia serta warganya. 

33. Ya, inilah kefahaman yang akan dijayakan UMNO Johor – Nasionalisme Melayu Baru, dalam mendepani konteks Malaysia moden yang semakin rumit dan tidak menentu. Kerana kita juga sedar akan tanggungjawab bahawa, di Johorlah UMNO dilahirkan, dan dari sini jugalah, UMNO akan dimurnikan semula.

Hadirin-Hadirat Sekalian,

DINAMIKA UMNO PASCA PRU-14

34. UMNO pasca PRU-14 amatlah menguji ketahanan kita sebagai sebuah parti politik dan gerakan amal bakti bangsa. Selepas 9 Mei 2018, kita sudah mula melihat pelbagai perubahan yang ditempuhi UMNO. Kita tidak punya kuasa, dan terhad dari sudut sumber, namun semangat akar umbi tetap cekal dalam menyantuni bangsa dan rakyat Malaysia.

35. Tidaklah saya katakan parti berada di dalam keadaan yang paling baik sekarang – namun UMNO sedang cuba menjadi yang terbaik dalam situasi politik negara yang dinamik dan boleh berubah pada bila-bila masa sahaja. Ini dizahirkan apabila pucuk pimpinan tertinggi parti berhasrat untuk meminda beberapa artikel di dalam Perlembagaan UMNO.

36. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana dengan jayanya memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan.

37. Di Johor, kami mengharapkan dua perkara daripada pindaan perlembagaan parti:

A. Pertama, pindaan perlembagaan haruslah menjadikan UMNO lebih dinamik dan sensitif kepada tuntutan politik semasa, lebih-lebih lagi dalam hasrat UMNO Johor untuk menjayakan Nasionalisme Melayu Baru. 
B. Kedua, pindaan perlembagaan juga wajib mengangkat prinsip ketelusan dan integriti para pemimpinnya di segenap peringkat kepimpinan parti daripada amalan politik wang serta pecah amanah. 

38. Kita tidak mahu rakyat menjadi semakin menjauh dari UMNO lalu memandang parti kita ini dipenuhi oleh mereka yang bersikap haloba dan tidak amanah. Jangan dibiarkan jasa dan amal bakti kita dicontengkan oleh sifat-sifat mazmumah ini.

39. Kita juga tidak mahu rakyat terus memberikan persepsi bahawa UMNO adalah sebuah parti konservatif yang lama, usang dan suaranya tidak lagi berpengaruh. Ini semuanya boleh diatasi dengan menginstitusikan pembaharuan melalui Perlembagaan UMNO itu sendiri.

Saudara-Saudari Sekalian,

SEDERAP MENUJU PRK DI TANJUNG PIAI

40. Beberapa hari lalu kita telah dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, mantan Ahli Parlimen Tanjung Piai. Semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah jua. Kita menghormati jasa-jasa Allahyarham dan itulah juga yang dituntut kepada setiap pemimpin yang telah dipilih untuk menggalas amanah rakyat. Lalu tanpa semena-mena, UMNO dan Barisan Nasional Johor telah memasuki ‘mood’ pilihan raya.

41. Namun dalam konteks Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai ini, saya ingin memberikan beberapa ketetapan, samada pada pengundi atau jentera parti. Bahawa Barisan Nasional tidaklah tercela sifatnya seperti Pakatan Harapan, yang terpaksa berbohong demi mengejar mandat rakyat. Kita juga tidak akan mencalonkan nama wakil rakyat yang tercorot sehingga terpaksa menipu kelayakan akademik masing-masing.

42. Percayalah, hanya bakat dan pemimpin yang terbaik akan dinamakan sebagai bakal calon wakil rakyat baharu Parlimen Tanjung Piai.

43. Secara peribadi, Tanjung Piai sendiri adalah amat dekat dengan saya. Telah lebih 3 penggal saya menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian yang lama dan Ketua UMNO Bahagian yang merangkumi parlimen Tanjung Piai sebelum kawasan itu membentuk bahagiannya sendiri. Jika dilihat pada trend pencalonan, sejak dari PRU-12 dan PRU-13, Tanjung Piai adalah satu ‘tempat pembiakan’ orang-orang Melayu yang derhaka pada bangsanya. Ini kerana, begitu konsistennya DAP meletakkan calon Melayu di kawasan parlimen tersebut.

44. Tanjung Piai juga bukan tempat melahirkan konsep ‘Malaysian Malaysia’. Tanjung Piai bukan tempat untuk membenarkan Melayu bermegah berpegang tangan bersama DAP. Tanjung Piai ialah tanah yang paling hujung di Benua Asia – tentu sekali bukan tempat untuk mencampakkan Melayu dan UMNO ke dalam Selat Melaka.

45. Mungkin benarlah kata orang dahulu. Hanya Melayu sahajalah yang boleh memahami Melayu, sehingga pada satu masa, hanya Melayu sahaja lah yang berupaya mengkhianati bangsanya sendiri. Makanya, UMNO dan Barisan Nasional harus sederap atau sebagai satu pasukan yang utuh untuk memenangi Tanjung Piai semula.

46. Buat peringatan kepada UMNO Tanjung Piai, saya titipkan pesan ingatlah akan saranan Dato’ Onn bahawa orang Melayu perlu bersatu dan bersatulah seolah-olah kamu tidak pernah bersatu sebelum ini.

Hadirin-Hadirat Sekalian,

DEKLARASI TANJUNG PIAI

47. Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai ini merupakan satu simulasi kepada Pilihan Raya Umum ke-15. Di dalam konteks politik negara yang tidak menentu ini, ia mungkin diadakan pada bila-bila masa sahaja. Saya boleh tafsirkan, bahawa PRK Tanjung Piai adalah satu bentuk ‘latihan amali’ bagi Barisan Nasional Johor mempersiapkan diri untuk memenangi semula negeri kita pada PRU akan datang.

48. Untuk memenangi Johor semula adalah tidak mudah. Ini kerana, keadaan dan situasi politik di Johor amat berliku sifatnya. Jika wujud satu permasalahan, penyelesaiannya itu memerlukan formula yang berlainan dari negeri-negeri yang lain. Namun kita telah dianugerahkan Tuhan – kepimpinan bijaksana yang telah berjaya mengajak orang Melayu serta parti-parti komponen untuk setia berpegang kepada prinsip konsensus, perkongsian kuasa dan permuafakatan. Sehingga membolehkan – calon MIC dan MCA bertanding di kawasan majoriti Melayu dan disokong oleh orang Melayu, tanpa ragu dan sepenuhnya. Itulah yang dipanggil ‘The Johor Model’ atau ‘Cara Johor’. Seperti yang diungkapkan Tun V.T Sambanthan, mantan Presiden MIC pada suatu ketika dahulu:

“This is a country of various communities, brought together by political, social and economic reasons. Let us live as brothers, the tradition of Malaya are the highest tradition; the tradition of brotherhood, of happy and peaceful living amongst each other.”

49. Kita juga harus menyedari bahawa sikap dan demografi pengundi Melayu di Johor sudah berubah. Dahulu boleh dikatakan, Johor ini adalah negeri yang selamat. Tidak kira siapapun calonnya, kalau dia bertanding di Johor, calon tersebut akan pasti menang. Namun masa sudah bertukar. Itu bukan kelebihan kita lagi. Antara perubahannya adalah:

A. Pertama, Johor kini hanya mempunyai 38 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu pada 55% ke atas. Di PRU-14 yang lalu,   kita hanya memenangi 18 kerusi majoriti DUN Melayu, dan bakinya kita telah tewas. Johor juga mempunyai 9 kerusi DUN campuran, dan hanya 1 dimenangi pada PRU-14 lalu dengan hanya majoriti 2.3%. Pada masa yang sama, kita mempunyai 9 kerusi DUN majoriti Cina dan kita kalah kesemuanya.  
B. Kedua, politik identiti yang dibawa oleh UMNO dan PAS serta konsep ‘Malaysian Malaysia’ oleh DAP bakal menjadi penentu utama pada PRU-15 selain daripada hal-hal ekonomi seperti kos sara hidup serta peluang pekerjaan golongan muda. 

50. Dalam menyedari perubahan-perubahan ini, Johor harus mengamalkan satu model yang baharu dalam menentukan calon, pengagihan kerusi dan kawasan serta naratif pilihanraya yang sesuai. Maka ‘The Johor Model’ ini bakal diperkembangkan dan dipraktikkan dalam doktrin perkongsian kuasa Barisan Nasional mengikut kesesuaian negeri kita. ’The Johor Model’ ini harus memberikan nafas baru kepada tatakelola politik kita. Cara lama, kaedah dan pendekatan lama tidak boleh lagi menjadi amalan kita sekarang. Mungkin, PRK Tanjung Piai boleh menjadi permulaan bagi model persefahaman yang baru ini.

Para Perwakilan Sekalian,

51. Kita semua mengimpikan untuk UMNO menguasai semula negeri ini. Jika kita mahu UMNO berkuasa semula, ia harus dilakukan atas niat-niat yang demikian:

A. Pertama: Barisan Nasional boleh memajukan Johor. Kita punya pengalaman dan ia telah terbukti lagi benar. Tatkala Barisan Nasional kalah, Kerajaan Negeri diserahkan kepada Pakatan Harapan dalam keadaan yang amat baik sekali. Hutang kita rendah dan ekonomi kita berkembang. Rakyat tidak kira bangsa merebutrebut peluang yang ada atas limpah kemajuan yang wujud hasil usaha Barisan Nasional. 
B. Kedua: Kita punya misi besar untuk negeri ini. Kita mahu menang bukan atas sebab kuasa semata-mata. Kita mahu terus ‘Mengejar   Singa’ dan memastikan Johor tidak terus ketinggalan dalam arus modernisasi dan kemajuan negara serantau. 

52. Jika dipasakkan niat yang lurus dan murni, maka dengan izin Allah jua ia akan direalisasikan. Maka begitulah niat kita. Kerana jika UMNO hanya memikirkan kuasa semata-mata, maka UMNO tidak akan bertahan lama dan akan mati secara semulajadinya.

PENUTUP

53. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinikan untuk saya memetik firman Allah S.W.T yang terkandung dalam ayat 68, Surah Al-Qasas:

“Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memlih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); Tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih (selain dari Allah), Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaannya dari apa yang mereka sekutukannya”

54. Demikianlah – telah ditakdirkan kepada saya amanah dan bebanan tanggungjawab sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor selepas pertama kalinya negeri ini tidak lagi dikuasai kita.

55. Akhir bicara, saya punya satu tekad dan satu niat – iaitu untuk memenangkan semula UMNO di negeri ini dan hanya dengan Membumikan Nasionalisme Melayu Baru sahaja lah, kita berupaya melakukannya, bersama-sama.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

WordPress.com.

Up ↑

Komuniti Johor

Selatan Negeri Kami

@JohorTimes

Reporting Daily News

Negara Insider

We Fight Because We Believe

MediaRakyat

#MediaRakyat #RakyatBangkit #NajibRazak #NajibRazakFans #UMNO #BarisanNasional #Malaysia

Ahmad Ali Karim's Weblog

probably one of the youngest blogger ...

UMNO Online

Laman Berita Rasmi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO

Discover

A daily selection of the best content published on WordPress, collected for you by humans who love to read.

%d bloggers like this: