
KUALA LUMPUR, 5 Disember – Wanita UMNO Johor menyambut positif Ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO 2019 oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan Timbalan Presiden UMNO malam tadi.
WANITA UMNO JOHOR AKAN PERJUANGKAN AGENDA MELAYU MAJU
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai, Zarina Mohamed Bain berkata adalah penting bagi Wanita UMNO Johor khususnya untuk memperjuangkan Agenda Melayu Maju seperti yang dinyatakan oleh Tok Mat.
Menurut Zarina, terdapat 5 perkara yang disentuh oleh Tok Mat dalam membawa agenda Melayu Maju. Antaranya perkara yang perlu dibawa ialah perjuangan UMNO masa kini, soal akhlak, perjuangan berterusan UMNO, UMNO tidak boleh mengharap sepenuhnya kepada masalah yang dihadapi oleh kerajaan Pakatan Harapan, dan UMNO perlu terus melangkah ke hadapan.
Mengulas apa yang dikatakan oleh Tok Mat, Zarina yang juga Penolong Setiausaha (PSU) Wanita UMNO Johor berkata agenda Melayu Maju itu adalah penting untuk memperkuatkan orang Melayu.
“Kita sudah mulakan dengan jalinan Muafakat Nasional dan antara definisi sebenar Melayu Maju itu ialah pertama, Melayu perlu ada jati diri yang kuat; kedua, Melayu itu tidak hanya menerima dan; ketiga, Melayu itu bukan yang lemah tetapi Melayu yang membantu tanpa mengira bangsa dan sebagainya, jelas Zarina”.
PRK TANJUNG PIAI: MODEL TERBAIK MUAFAKAT NASIONAL
Mengulas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam PRK P.165 Tanjung Piai, Zarina mengaitkan ia dengan keberhasilan jalinan Muafakat Nasional dan ianya telah menjadi tumpuan semua masyarakat dalam dan luar negara.
Sebagai pengundi dan pemimpin di Tanjung Piai, Zarina mengakui telah diberi sedikit harapan untuk meminta kerusi kepada UMNO tetapi di saat akhir kita (UMNO Tanjung Piai) akur apabila kerusi tersebut diserahkan kepada MCA.
Namun atas semangat Muafakat Nasional, ia tidak sesekali melemahkan semangat kepimpinan UMNO Tanjung Piai dan tetap meneruskan perjuangan BN. PRK Tanjung Piai adalah bukti sebenar jalinan Muafakat Nasional di mana UMNO Tanjung Piai bersama-sama komponennya dan PAS sebagai rakan baru terus menjalinkan ukhwah dan kerjasama. Jelas Zarina lagi, Muafakat Nasional yang dijalinkan turut menjadi punca kebangkitan anak muda dan semua itu diterjemahkan kepada kemenangan besar BN di PRK Tanjung Piai.
“WANITA LUAR BIASA”
Zarina turut menyatakan peranan wanita semakin hari semakin diiktiraf dan diberi perhatian. Ekoran daripada itu, beliau akan memastikan Wanita Johor tidak akan lalai walaupun diberi perhatian dan pujian. Tetapi ia pujian itu akan dijadikan sebagai pembangkit semangat untuk menjadikan Wanita itu “Luar Biasa” seperti yang disarankan oleh Dato’ Dr. Noraini Ahmad semasa Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.
Antara gerak kerja atau inisiatif terbaru Wanita UMNO adalah membuat penjenamaan baru Skuad Sayang kepada Skuad Sayang 3K yang mana ia merangkumi kebajikan, kesihatan dan keselamatan bagi memberi nilai tambahan kepada Wanita UMNO untuk terus membantu masyarakat dan menjadikan “Wanita Luar Biasa”.
PAU 2019 : HARAPAN WANITA UMNO JOHOR
Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU 2019) yang berlangsung pada kali ini adalah tahun kedua UMNO sebagai status pembangkang. Justeru itu, Zarina berharap dan berpesan kepada diri sendiri serta rakan-rakan perwakilan lain agar jangan hadir dan balik dengan situasi yang sama serta beliau berharap semoga kita (perwakilan) lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.
“Semangat Wanita Luar Biasa harus dibawa pulang dan ianya tidak hanya di atas kertas, tidak hanya berselfie (berswafoto), tidak hanya bersiaran di media sosial tetapi harus diterjemah dengan sebaiknya”.
Akhir sekali, Zarina berharap agar perwakilan yang hadir akan membawa pulang amanat dan mandat ke kawasan masing-masing. Pada masa yang sama, beliau turut mengakui masih ada banyak lagi kekurangan dan perjuangan UMNO ini semakin berat dan perlu banyak dikorbankan.

#PAU2019 #UMNOSebuahPerjuangan #LensaUMNOJohor #UMNOJohorOfficial
Leave a Reply