
MUAR, 22 Disember – UMNO Bahagian Bakri hari ini mengadakan program ‘Brainstorming’ Gerak Kerja Pilihanraya bertempat di Dewan Komuniti UMNO Bakri.
UMNO BAKRI SIAP SEDIA UNTUK PRU-15
Antara objektif utama program adalah untuk menyegarkan semula (refresh) gerak kerja pilihanraya dan kesiapsiagaan UMNO Bahagian Bakri dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 kelak.

Dalam ucapan alu-aluan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Haji Mohd Fuad Haji Tukirin menzahirkan ucapan tahniah kepada Pengerusi BPUNJ kerana berjaya memimpin kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Kecil Tanjung Piai baru-baru ini.
Menurutnya, kepimpinan UMNO Bakri kini dipimpin hampir separuh orang muda dan muka baru serta disulami dengan orang lama yang akan memberi tunjuk ajar.

Program yang dirasmikan oleh YB Datuk Ir Hasni Mohammad, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor telah dihadiri hampir 100 orang peserta. Peserta yang hadir terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian, jawatankuasa sayap-sayap, dan ketua-ketua cawangan UMNO Bahagian Bakri.
Dalam ucapan perasmian Pengerusi BPUNJ, Hasni mengucapkan tahniah kepada UMNO Bakri kerana menjadi bahagian pertama di Johor yang menggerakkan kerja PRU seperti program hari ini.
KEMENANGAN PRK TANJUNG PIAI SUNTIKAN MORAL KEPADA UMNO JOHOR
Mengulas kemenangan PRK Tanjung Piai pada November lalu, Hasni menegaskan kemenangan tersebut harus dijadikan suatu suntikan kepada UMNO Johor bagi menghadapi PRU-15.

Jelas beliau lagi, kemenangan PRK tersebut turut menjadi bualan perwakilan-perwakilan di Persidangan Agung UMNO baru-baru ini. Kemenangan ini dibantu oleh faktor pemimpin-pemimpin besar UMNO yang turun membantu seperti Datuk Seri Najib, KJ (Khairy Jamaludin) dan lebih menarik apabila Tengku Razaleigh Hamzah sendiri turun untuk bersama-sama berkempen membantu BN.

“Pemimpin-pemimpin besar UMNO Johor seperti Datuk Seri Hishammuddin pun turun dan banyak menghabiskan masa untuk berkempen sama semasa PRK Tanjung Piai,” ujar Hasni.
Kemenangan PRK Tanjung Piai juga banyak dibantu oleh bahagian-bahagian angkat termasuklah Bahagian Bakri. Tambah beliau lagi, bahagian-bahagian banyak membantu dari segi tenaga kerja, masa dan kewangan.

“JR-JR (Jalinan Rakyat Wanita) bahagian banyak membantu dan menjadi penyumbang besar kemenangan PRK Tanjung Piai”
Menyimpulkan kemenangan besar PRK Tanjung Piai, Hasni menyatakan terdapat tiga faktor utama yang menjadi penyumbang utama kemenangan tersebut iaitu faktor calon, faktor jentera dan faktor isu-isu setempat.

#UMNOJohorOfficial #AmaldanUsaha #UMNOSebuahPerjuangan #DiSiniLahirnyaUMNO #MadeInJohor
Leave a Reply