
19hb Januari 2020, Johor Bahru.
Dalam Janji 6 Buku Harapan, Pakatan Harapan telah berjanji untuk menghapuskan kutipan tol. Ia merupakan antara janji yang paling popular dan sering dimomokkan oleh pemimpin PH semasa menaburkan janji-janji Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu.
Namun sehingga kini, apa yang rakyat dapat adalah tempoh konsesi tol dilanjutkan sehingga tahun 2058! Ini merupakan satu lagi penipuan di siang hari. Bagaimanapun, saya berpendapat rakyat tidak terperanjat kerana Pakatan Harapan punya pendirian bahawa manifesto itu sendiri bukan kitab suci. Maka tiada kewajipan untuk mereka tunaikan janji manifesto mereka. Rakyat ditipu.
Mentelahan Kerajaan juga menabur kata bahawa harga tol akan turun tetapi hakikatnya, rakyat tetap akan membayar tol sehingga tahun 2058.
Kerajaan menambah lagi impian kepada rakyat bahawa kerajaan bakal mendapat penjimatan sebanyak RM 42 billion dalam bentuk pampasan kepada PLUS. Tetapi sebenarnya, KWSP dan Khazanah Nasional melalui UEM Group Berhad adalah pemegang saham utama PLUS. KWSP memegang saham pada 49% dan Khazanah pada 51%.
Jika kerajaan membayar pampasan sebegitu banyak pun, ianya akan terus pergi kepada syarikat GLC, rakyat serta pencarum KWSP juga akhirnya. Bukan entiti swasta yang lain.
Beberapa jam yang lalu, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong telah mengeluarkan kenyataan di dalam Facebook beliau. Liew Chin Tong dengan tiada rasa bersalah membuat justifikasi mengapa kerajaan bertindak mengurangkan harga tol dan bukan menghapuskan tol. Anda boleh lihat di ruangan komen beliau yang penuh dengan kemarahan rakyat yang merasa mereka telah ditipu dengan janji Kerajaan PH. Malah ada yang menyebut mereka seakan dirompak di tengah hari. Ada juga yang berpendapat, kerajaan boleh memberi diskaun lebih banyak daripada 18% tanpa melanjutkan konsesi PLUS sehingga tambahan 20 tahun lamanya.
Liew Chin Tong pula seakan menyalahkan pengundi kerana telah memberi harapan yang terlalu tinggi kepada Pakatan Harapan. Beliau mengatakan tidak semua masalah boleh diselesaikan serta-merta selepas kerajaan bertukar.
Mungkin beliau lupa, bahawa bukan rakyat yang menaruh harapan yang terlalu tinggi kepada Kerajaan tetapi rakyat sudah meletakkan kepercayaan kepada Kerajaan yang salah mentadbir negara.
YB Datuk Ir. Hj. Hasni Mohammad
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor
Leave a Reply