
Oleh: Mohd. Izuan Roseli
KOTA ISKANDAR, 14 Jun: Kerajaan Negeri Johor menggariskan tujuh Ikhtiar Makmur Johor bagi memastikan negeri ini mempunyai daya tahan ekonomi dan governans yang kuat pasca pandemik COVID-19.
Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, tujuh ikhtiar itu bagi mencari penyelesaian baharu selain sebagai pelan keluar daripada belenggu COVID-19.
”Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang digariskan adalah penubuhan Ibrahim Johor Economic Council (IJEC), Johor Digital Masterplan, Singapore-Johor-Riau Growth Triangle (SIJO-Kepri), Johor Investment Company (JICO) di Singapura.
“Selain itu, ikhtiar yang diharapkan mampu membawa Johor ke peringkat yang lebih tinggi adalah Jajaran Ekonomi Baharu, Inisiatif Bank Makanan Johor dan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Amanat YAB Menteri Besar Johor bertajuk ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook beliau, Datuk Hasni Mohammad, di sini hari ini.
YAB Menteri Besar yakin ikhtiar tersebut dapat direalisasikan dengan gandingan kekuatan jemaah Menteri Persekutuan yang berasal dari Johor termasuk YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
”Saya yakin, mereka akan membantu kita dan membantu Negeri Johor untuk terus makmur. Seperti usaha kita dalam membuka sempadan Malaysia-Singapura, menjayakan JICO, SIJO-Kepri, Bank Digital, mahupun Inisiatif Bank Makanan Johor. Ataupun memastikan projek kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura, termasuklah RTS Johor Bahru-Singapura berjalan mengikut jadual.
”Peranan para EXCO, JCS, agensi dan jabatan turut sama diperlukan. Anda semua harus sentiasa mengambil peranan aktif dalam menjayakan usaha-usaha di atas. Semuanya harus dipandu dan berjalan dengan cermat serta sepantas mungkin,” katanya. – Makmur Johor
Leave a Reply