
SAYA mulakan penulisan ini dengan memetik peribahasa, seperti menarik rambut dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak.
Peribahasa ini membawa maksud apabila membuat kerja kita mesti berhati-hati dan bersifat adil.
Saya berpandangan peribahasa ini cukup sesuai bagi memberikan gambaran tentang gabungan Muafakat Nasional (MN) yang pada asalnya diterajui oleh UMNO dan juga PAS.
Tetapi pada 15 Ogos 2020, umum pastinya sudah mengetahui berhubung kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai MN.
Seperti dinyatakan oleh Muhyiddin, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga bersetuju untuk menyertai MN yang mendokong Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’.
Apa maksud Muhyiddin yang mendokong PN sebagai gabungan besar?
PN adalah gabungan interim atau sementara yang dibentuk untuk menyelamatkan negara ini daripada kerakusan kerajaan PH selama 22 bulan.
Itu faktor utama PN dibentuk. Ia bukan gabungan rasmi atau yang terbesar di negara ini.
UMNO sendiri telah membuat keputusan tidak menyertai PN jika gabungan itu didaftarkan untuk menghadapi PRU-15, sebaliknya fokus UMNO adalah terus memperkasa MN.
Parti Bersatu ingin menyertai MN tetapi biarlah MN selepas ini menjadi satu gabungan besar untuk menerajui tanah air tercinta ini. Saya hanya ingin meingatkan Jangan lebih kuah dari sudu harapnya.
Perlu saya tegaskan, Semua pihak khususnya parti-parti politik Melayu ketika ini perlu bersikap terbuka kerana orang Melayu tidak lagi boleh berpecah.
Sebaliknya, parti-parti politik Melayu ini perlu bekerjasama dalam satu pasukan yang mana ia juga merupakan harapan orang Melayu dan Islam untuk melihat penyatuan ummah di negara ini untuk menbela nasib semua Agama, Bangsa dan tanah air.
Bukan mudah usaha ini untuk dicapai, jadi jangan ada makna tersirat atau tersembunyi disebalik keputusan Bersatu menyertai MN.
Matlamat akhirnya demi membela nasib agama, bangsa dan negara serta mempertahankannya demi mengelakkan bumi dipijak menjadi milik orang.
Berhati-hatilah dan juga bersifat adillah supaya jangan nanti, yang dikejar pun tak dapat, yang dikendung pula keciciran.
MOHD HAIRI MAD SHAH
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor
Leave a Reply